Wednesday, October 17, 2018

XPDC 2019 Kembali Bersama 'Doa'


.
Selepas sembilan tahun, XPDC kembali dengan album terbaru berjudul Doa yang juga album studio kelapan kumpulan heavy metal popular ini.

Album Doa dijangka berada di pasaran penghujung Oktober tahun ini. Album terakhir mereka ialah Rasopariso yang dipasarkan pada 2009.

Kini, XPDC yang dianggotai Izo (gitar), Ali (penyanyi), Lola (dram) dan Eddie (bass) kembali dengan buah tangan terbaru yang lebih segar, mantap dan dalam masa sama, kekal dengan ramuan tradisi XPDC iaitu heavy metal.


Selain empat pemuzik berpengalaman dikenali ramai ini, XPDC turut menggunakan khidmat pemain gitar, Ariff yang juga anak kedua Izo sebagai pemuzik undangan.

Ariff yang juga penuntut Ijazah Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur juga bermain gitar untuk proses rakaman album Doa selain semua persembahan XPDC ketika ini.

Izo berkata, Doa masih mengekalkan ‘trademark’ XPDC sebagaimana dikenali peminat mereka sebelum ini.

“Tidak ada yang berbeza. Konsep muzik tetap sama seperti album-album terdahulu. Ada lagu heavy, moderate dan slow. Imej kami juga tidak berubah dan masih sama. Bagaimanapun, lagu- lagu kali ini lebih banyak mengenai nasihat. Tidak ada cerita-cerita merapu, tetapi lebih banyak mengenai kehidupan dan kebaikan berbuat baik dengan orang,” katanya.


Menurut Izo, lagu-lagu dalam album ini lebih kepada menasihati orang membuat perkara baik. Mereka mahu peminat mendapat sesuatu yang positif apabila menghayati lagu-lagu XPDC.

“Ia juga mengenai kasih sayang. Banyak perkara negatif yang terjadi sekarang kerana manusia ini kurang kasih sayang. Kita perlu semarakkan rasa kasih sayang tanpa mengira sesiapa pun.



“Macam-macam perkara terjadi dalam dunia hari ini. Fitnah berleluasa dan mudah tersebar. Akhlak sudah tidak ada dalam kalangan manusia menyebabkan fitnah berlaku di sana sini,” katanya.

Menurut Izo, album yang menjalani proses rakaman di Studio Archive, Damansara, Kuala Lumpur itu mengambil masa lebih dua tahun untuk disiapkan.

“Ia juga banyak kali tertangguh disebabkan beberapa aktiviti luar membabitkan XPDC. Antaranya kami pergi mengerjakan umrah, mengadakan persembahan di Eropah dan mengikuti misi kemanusiaan di Syria.

“Selain itu, kami juga teliti sepanjang proses rakaman dan sudah pun melakukan yang terbaik untuk album ini. Lagipun kami sudah hampir 10 tahun tidak ada album baru,” katanya.

Dalam pada itu, XPDC turut mempertahankan tindakan mereka menghasilkan album penuh walaupun ketika ini pasaran jualan album tidak menentu dan kebanyakan penyanyi lebih selesa menghasilkan single.

Izo berkata, sebagai kumpulan rock lama, mereka mesti keluarkan album penuh.
“Peminat kami tidak mahu kami hanya rakamkan satu lagu untuk single. Mereka kerap bertanya bila album baru akan dikeluarkan,” katanya.

Katanya, ketika menyertai satu karnival di Pulau Pinang, baru-baru ini, mereka mengambil pendekatan dengan menjual album Doa secara terus kepada peminat dan ia nyata tidak mengecewakan apabila laris seperti goreng pisang panas.

“Peminat yang datang membeli tidak putus-putus. Mereka tetap mahukan kami hasilkan album baru,” katanya.

Album terbaru ini mengandungi 11 lagu yang memiliki maksud positif seperti AKHLAK, ADU DOMBA, CINTA ABADI, SENTOSA, RAHMAH, SILATURRAHIM, DOA, KATA PEPATAH, RANUM, AKHIR ZAMAN dan sebuah lagu instrumental berjudul X BERHURUF X BERSUARA.

Semua lagu dicipta dan digubah XPDC dan album ini diterbitkan hasik kerjasama XPDC dan Blockchain Island Sdn Bhd serta edaran Life Rekod.

“Ini adalah album kami yang paling tinggi kosnya. Kami juga sudah menghasilkan muzik video untuk setiap lagu dalam album ini dan sebahagiannya sudah dimuat naik di YouTube. Semuanya demi peminat yang sudah hampir 10 tahun menantikan album terbaru XPDC. Kami mahu mereka puas hati apabila membeli album ini,” katanya.



XPDC yang mula aktif sejak 1989 tampil dengan sulung berjudul Darjah Satu pada 1990. Mereka kemudian tampil dengan album Timur Barat (1992), Kita Peng-Yu (1994), Brutal (1997), Samurai (1998), V6 (2002) dan Rasopariso (2009).
.

No comments:

Post a Comment